Mainan Edukatif Anak

nama anak, permainan, cerita anak, mainan anak edukatif,rumah mainan,mainan anak 1 tahun

Senin, 03 Mei 2010

Tata hias bilik tidur si kecil (Berita Harian)

Mudah cetak
E-mel

3 Mei 2010

EKSTRA!

PENGELOLA - DEWANI ABBAS
Tata hias bilik tidur si kecil

Oleh
Amilia Gani

BARU-BARU ini saya bercerita kepada anak-anak saya, pengalaman hidup saya semasa kecil.

Saya dan sembilan adik- beradik berkongsi dua bilik tidur - empat adik-beradik lelaki di sebuah bilik dan saya serta saudara-saudara perempuan saya berkongsi sebuah bilik lain di sebelah pula.

Yang masih bayi, berkongsi bilik bersama ibu bapa.

Kadangkala kesemua adik-beradik tidur di atas tilam yang terletak di ruang tamu, terutama pada Jumaat malam untuk menonton drama bersiri atau filem Melayu lakonan P. Ramlee.

Seorang daripada kami mempunyai bantal kegemarannya dan tempat tidur kami adalah tilam-tilam tipis yang dibentangkan di atas lantai seramik yang sejuk.

Jika dibandingkan keadaan dulu semasa saya kecil dan kini, anak-anak patut bersyukur dengan kelebihan mempunyai bilik sendiri.

Dengan ekonomi yang baik serta polisi perumahan yang membantu masyarakat umum, ibu bapa masa kini juga memahami yang kanak-kanak dan anak remaja mereka memerlukan ruang peribadi masing-masing.

Di rumah, bilik tidur adalah tempat paling menyenangkan. Mereka memerlukan ruang ini bagi mengisi fasa tumbesaran, selain bilik mereka digunakan sebagai ruang untuk berehat dan tidur.

Bagi seorang penata hias, biasanya bilik tidur kanak-kanak adalah ruang yang paling menarik dan sering dikemaskan dari segi dekorasi reka bentuk dan fungsi-fungsinya.

Pembesaran kanak-kanak boleh dibahagikan kepada tiga golongan - bayi hingga lima tahun, lima tahun hingga 11 tahun dan 11 tahun hingga dewasa berusia 18 tahun.

Daripada situ cara merancang ruang untuk aktiviti yang berbeza mengikut golongan umur harus diperhatikan dan memilih perabot dengan teliti.

Bayi hingga lima tahun

Untuk golongan pertama iaitu daripada bayi hingga ke lima tahun, ruang kanak-kanak perlu dirancang mengikut kesesuaian perkembangan fizikal dan minda mereka. Dua perkara perlu ditekan iaitu ruang dan kandungannya.

Ruang kanak-kanak prasekolah perlu luas untuk aktiviti fizikal spontan. Oleh itu, lantai mestilah lapang tanpa halangan.

Bagi yang berusia lima tahun ke atas, sudah bersekolah dan melakukan tugas spesifik, mereka memerlukan perabot yang mempunyai fungsi, seperti meja untuk belajar dan rak-rak buku yang sesuai dan dapat memuatkan buku-buku sekolah dan cerita.

Seterusnya apabila kanak-kanak semakin membesar, ruang lantai semakin kurang kerana keluasan lantai digunakan untuk meletakkan perabot yang diperlukan.

Ruang kanak-kanak harus memenuhi pelbagai fungsi seperti kawasan berasingan untuk tidur, bermain dan belajar secara efektif, selain ia kelihatan kemas dan teratur.

Ini akan membuat kanak-kanak berasa lebih lega dan nyaman berada di dalam biliknya.

Kehidupan kanak-kanak penuh dengan perubahan dan perkembangan. Oleh itu, ruang mereka harus melambangkan bentuk positif, imaginatif dan kreatif.

Memilih tema

Penting bagi ibu bapa memahami dulu cita rasa anak-anak mereka supaya hala tuju gaya penataan dapat ditentukan.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan lazimnya berbeza minat. Lumrah bagi lelaki memilih gaya hiasan yang melambangkan watak lasak, sementara cita rasa anak perempuan lembut dan feminin.

Lima hingga 11 tahun

Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, menyukai perhiasan warna terang serta kertas dinding bercorak kartun.

Bilik mewakili dunia kecil mereka iaitu tempat dia berangan selanjutnya bercerita. Justeru, elok jika mereka diberi kebebasan memilih sesuatu yang benar-benar dekat dengan jiwa mereka.

Gunakan panduan buku-buku cerita atau karakter kartun animasi di TV atau di wayang gambar. Pilihlah contoh-contoh yang baik yang mereka akan terus minati selama beberapa tahun, misalnya, tema angkasa lepas, kapal terbang, sukan, binatang atau ikan dan lautan.

Berbanding dulu, pilihan kelengkapan bilik anak-anak kini lebih pelbagai. Kini terdapat pilihan reka bentuk katil seperti kereta lumba, kapal angkasa dan ikan lumba.

Perabot pelbagai fungsi

Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak terutama remaja untuk berbincang mengenai pemilihan perabot kegemaran mereka.

Pemilihan set perabot sesuai untuk bilik tidur amat penting. Apabila mereka semakin dewasa, perabot atau aksesori bilik tidur juga perlu sepadan dengan gaya hidup mereka.

Pilihlah katil serba guna yang dilengkapi ruang penyimpan berlaci, anak tangga lebar dan ruang tidur tambahan yang boleh disorong tarik. Katil yang mempunyai penghadang yang sesuai dengan umur kanak-kanak, juga boleh dipilih.

Bagi kanak-kanak yang meminati kartun, tempatkan almari pakaian dan meja bermotif kartun bersebelahan katil, lampu terendak dan kertas dinding bermotifkan kartun.

Jangan beli katil indah reka bentuk, tetapi tidak praktikal. Selain itu, kurangkan membeli perhiasan kecil dan membahayakan bagi mengelakkan insiden luar dugaan.

Sewaktu menyediakan perabot, fikirkan juga penggunaannya secara jangka panjang. Perabot siap dibina diakui membentuk suasana kemas, namun kekurangannya ialah ia tidak boleh ditukar setelah jemu atau jika mahu mencuba konsep baru.

Kongsi bilik

Bagi mereka yang anaknya berkongsi bilik, pelan lantai boleh dibahagi dua. Ini untuk mengelakkan pertengkaran kecil, selain memberi peluang anak berbeza jantina (jika yang berkongsi bilik anak lelaki dan perempuan), meneroka dunia masing-masing.

Bagi bilik kanak-kanak berusia lima tahun ke atas, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah keselamatan kerana mereka sedang melalui proses pembelajaran.

Bilik mereka biasanya dijadikan tempat bermain dan belajar, selain tempat tidur. Justeru, tidak perlu diletakkan perabot mahal atau berjenama, memadai dengan yang berharga sederhana, tetapi kukuh dan lasak.

Bilik si kecil yang bergaya ringkas dilengkapi sebuah katil bujang, meja belajar, kerusi serta rak terbuka bagi menempatkan himpunan barang permainan adalah lebih bermanfaat. Biasanya, bilik tidur kanak-kanak disatukan dengan ruang bermain bagi memudahkan interaksi.

Jika anak masih kecil dan berusia kurang tiga tahun, sediakan bakul untuk memudahkan mereka memasukkan barang permainan selepas bermain sambil menerapkan tabiat kemas sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Pastikan tiada benda tajam di bilik dan pilih perabot jenis tidak berbucu tajam atau keras.

Kebijaksanaan membentuk ruang yang sesuai penting bagi merangsang keupayaan minda anak menjalani kehidupan lebih bermakna.

Sediakan tempat mereka meyimpan barang dan senang mengemas barang-barang mainan mereka seperti bakul di tepi ruang bilik, kotak-kotak yang boleh disorok di bawah katil atau perabot yang berlaci rendah.

Tata hias dengan lampu

Penataan cahaya juga penting untuk mencipta suasana rehat untuk kanak-kanak. Pemilihan lampu yang sesuai tidak perlu dipandang ringan kerana lampu berperanan mempengaruhi nikmat tidur mereka, selain memberi mereka ruang yang terang untuk belajar atau bermain.

Fungsi lampu juga penting untuk keselamatan mereka ketika bermain dengan membolehkan mereka melihat sudut-sudut perabot di bilik.

Untuk tambah menarik, ketengahkan pencahayaan yang mampu disesuaikan mengikut masa dan keperluan. Gunakan bal lampu fluorescent yang bukan saja menjimatkan kuasa elektrik, malah memberikan cahaya terang yang padat bagi bilik kanak-kanak.

Sediakan juga lampu malam semasa mereka tidur supaya mereka tidak berasa khuatir atau cemas dengan kegelapan.

Nota: Penulis ialah konsultan tata hias daripada Facelift Design & Interiors. Laman web beliau ialah www.faceliftdesign.biz

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar